Sebenarnya ini adalah draf catatan yang terperuk ketika dunia pendidikan berlangsung sepenuhnya dari rumah. Rasa hati yang mahu saya luahkan terhadap segelintir pihak yang tidak memahami. Terus terangnya tidak pernah hidup dalam lingkaran kesusahan. Biar pun PdPR sudah berlalu, catatan ini untuk 'kalian'.
==========================================================================
Kasut kita berbeza
Apabila membeli kasut, tak kira lah untuk apa kegunaannya pasti banyak pertimbangan untuk diambil kira. Banyak faktor perlu diperhalusi. Mahu pakai untuk pergi bekerja, sebagai basahan atau hanya untuk kegunaan ikut musim. Dapat melindungi kaki kah ? Atau mampukah menonjolkan gaya ?
Ya,banyak perkara harus diperhalusi. Material digunakan, warna, bentuk, minat, jenama, trend semasa dan sebagainya. Apa jua pun ia,semua ini pasti akhirnya berbalik kepada satu perkara.
Kemampuan ! Ya, kemampuan ..
Andai mampu, pilih dan tunjuk lah yang mana satu. Satu petik dan satu ketik, terus boleh dibawa pulang. Namun andai sebaliknya, terpaut lah bagaimana sekali pun ... tetap harus akur dengan kemampuan.
Begitu jugalah dengan anak-anak dalam dunia PdPR hari ini. Mereka lahir dan hidup dari latar belakang berbeza. Ada di bandar, ada di desa. Ada anak doktor, ada anak jurutera. Ada anak kerani,ada anak petani.
Semua lahir dari latar belakang berbeza, punya persekitaran hidup yang aneka. Kemampuan ibu bapa usah cerita. Impian mereka mungkin sama namun lihatlah dari mata hati sebelum beri arahan membuta tuli.
==========================================================================
Tak faham dengan sesetengah pihak yang senang-senang ,sesuka hati arahkan PdPR setiap hari mesti menggunakan aplikasi GM, ZOOM,TEAMS dan sebagainya.
Bukan membantah, hanya sekadar meluah. Buatlah dulu pertimbangan wajar sebelum mengarah. Kalau sememangnya mereka mampu, tidak ada masalahnya. Gunalah sepuluh aplikasi sehari pun tidak mengapa. Namun andai beras secupak pun perlu dipinjam, mana keupayaannya untuk sediakan gadjet barang sebuah untuk 3 atau 4 orang anak yang bersekolah.
Apabila kita punya kasut selesa dan berjenama ,cubalah sesekali sarungkan kaki dan berjalan dengan kasut mereka. Kasut yang mungkin sudah koyak, berlubang tapaknya. Lihat dan rasakan sendiri bagaimana pedih dan sakitnya kaki tertusuk duri .
==========================================================================
Anak-anak, teruskan hidup kalian. Jangan berputus asa dan berhenti di tengah jalan. Perjalanan kalian masih panjang. Belajarlah dengan apa jua kemampuan kalian. Kejayaan bergantung kepada usaha dan kecekalan , bukannya dari megahnya pangkat dan kedudukan.
No comments:
Post a Comment